Saturday, May 26, 2012



Jom Hafaz Al-Quran.. (^_^)

Assalamu'alaikum...
Tips ini hanya perkongsian ana dengan antum semua, terutamanya bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak untuk menghafaz al-Quran. Ia hanya berdasarkan pengalaman , jadi akan ada certain part yang mungkin sesuai dan juga mungkin kurang sesuai dengan anda. Ambil mana yang baik.
 Semoga bermanfaat.

[1] Pertama sekali, yang paling penting NIAT.. Niat adalah asas utama dalam apa jua perkara. Betulkan niat anda semata-mata kerana Allah. Hindarkan niat menghafaz al-Quran kerana untuk dapat title ‘hafiz/hafizah’, ikut-ikutan, nak masuk pertandingan, atau apa saja yang berbentuk keduniaan dan sementara. Niat yang ikhlas, insya Allah akan menghalang anda daripada give up di pertengahan, kerana anda akan diuji dengan pelbagai rintangan dan kesusahan di tengah-tengahnya..
[2] Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri anda. Adakah anda seorang yang senang hafal tapi cepat lupa, atau senang hafal dan lambat lupa, atau susah hafal dan cepat lupa, atau susah hafal tapi lambat lupa? Apabila kekuatan dan kelemahan diri sudah dikenal pasti, mudah untuk anda fikirkan strategi dan langkah untuk memanfaatkan dan mengatasi kekuatan dan kelemahan diri.
[3] Kalau boleh, peruntukkan satu masa khusus setiap hari untuk hafalan, yang anda boleh betul-betul fokus pada hafalan anda tanpa ada gangguan-gangguan lain. Elakkan menghafaz al-Quran sambil melakukan kerja lain, contoh: SMS, menonton TV.

Ketika menghafaz…

[4] Setiap kali hendak mulakan hafalan, sentiasa istighfar dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., dan baca doa yang ma’thur dan bersesuaian.

[5] Lancarkan bacaan anda terlebih dahulu untuk keseluruhan page yang hendak dihafal. Kenal pasti kalimah-kalimah yang agak susah hendak disebut, serta pastikan tajwid kita betul. Tajwid adalah perkara yang wajib dijaga. Amatlah rugi bagi seseorang yang  mengahafaz al-Quran, tapi langsung tidak menjaga peraturan-peraturan ketika membaca ayat al-Quran.

[6] Baca dan fahami sepintas lalu maksud ayat-ayat yang akan dihafal supaya dapat tahu secara umum maksud ayat-ayat tersebut.

[7] Mulakan hafal ayat yang pertama. Baca berulang-ulang kali (berapa kali, bergantung kepada kekuatan ingatan anda) sehingga anda yakin sudah mampu menguasai ayat tersebut.


[8]Setelah ayat pertama lancar, teruskan hafal ayat yang kedua. Lakukan perkara yang sama (langkah 7) sehingga lancar hafalan untuk ayat tersebut.

[9] Setelah dua ayat dapat dikuasai, ulang kembali ayat yang pertama dan ayat yang kedua. Jangan terus masuk pada ayat yang ketiga sehingga anda betul-betul yakin telah dapat menguasai kedua-dua ayat tersebut.
[10] Ulang langkah (6-9) untuk ayat-ayat yang seterusnya sehinggalah habis satu muka.
[11] Setelah satu page telah habis dihafal, cuba ulang kembali hafalan dari ayat pertama hingga ayat terakhir. Anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk mengingatinya atau untuk menyambung satu ayat dengan ayat yang seterusnya untuk kali pertama cubaan anda, walaupun anda telah berkali-kali mengulanginya sebelum itu. Itu perkara biasa. Dalam kaedah menghafal al-Quran, tidak ada cara lain yang berkesan melainkan ulangan yang berterusan.
[12] Bagi mereka yang agak sukar untuk mengingati satu page, mungkin boleh dibahagi dua page tersebut. Hafal dan ulang ayat-ayat untuk separuh muka yang pertama, kemudian baru diteruskan hafal ayat-ayat untuk separuh muka yang kedua. Setelah selesai, cuba sambungkan hafalan kedua-dua bahagian tersebut, supaya akhirnya anda juga dapat hafal keseluruhan muka.
[13] Di akhirnya, kerana anda juga telah memulakan hafalan dengan doa dan tertibnya, tamatkan hafalan anda dengan DOA juga, semoga apa yang telah dihafal kekal di ingatan.

Tips Berguna (^_^)
[1] Cuba baca ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat. Cara begini sebenarnya lebih menguji kekuatan ingatan dan kelancaran hafazan anda yang sebenar berbanding dengan mengulang secara biasa di luar solat. Anda dapat menilai sejauh mana anda betul-betul mengingati ayat-ayat yang telah dihafal.
[2] Cari GURU yang dapat anda perdengarkan (tasmi’) hafalan anda. Jangan menghafal ayat al-Quran sendiri tanpa ada guru yang dipercayai untuk dirujuk atau dibetulkan bacaan anda. Anda hanya akan rasa syok sendiri.
[3] Kunci utama (key point) yang perlu ditekankan dalam menghafal ayat al-Quran adalah ulangan (i’adah) yang berterusan. Tidak ada cara lain lagi yang lebih berkesan. Mereka yang telah khatam tasmi’ atau dah bergelar hafiz/hafizah sekalipun, tidak boleh lari daripada mengulang al-Quran.
[4] Jangan tinggalkan ayat-ayat yang telah dihafal dalam suatu tempoh yang lama. Jika tidak berkesempatan sekalipun, luangkan masa mendengar bacaan ayat-ayat tersebut melalui mp3 dan sebagainya.
Kesimpulannya...
  Al-Quran adalah Kalam Allah, milikNya dan kepunyaanNya. Jadi, semuanya terpulang kepada Allah, sama ada nak ‘menghadiahkan’ kita dengan anugerah berharga ini dengan jalan yang mudah atau pun susah.

 Kedua-duanya ujian, untuk melihat sejauh mana kita bersungguh-sungguh untuk menghafal dan mengamalkan kalamNya. Ada yang sudah khatam tasmi’, tapi akhirnya ditarik kembali sedikit demi sedikit apa yang dah dihafal (na’uzubillahi min zalik) kerana sengaja dicuaikan tanpa ada usaha untuk menjaga hafalan. 

"Ada yang merangkak-rangkak menghafal, tapi kerana keinginan dan kesungguhan, akhirnya dia berjaya khatam."
Kesimpulannya, sentiasa minta dan pohon doa daripada Allah semoga dipermudahkan dan dikekalkan hafalan serta dapat mengamalkan isi kandungannya supaya kita menjadi Hamlatul Quran yang sejati dan hakiki.


خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.

Always improve our relationship with Al-Quran..


Thursday, August 11, 2011

Fenomena Berpurdah(Niqobis) di Facebook
Trend ke sekarang ni?? atau kerana Allah ??

Lewat beberapa minggu sebelum ini, kecoh dengan isu drama Tahajjud Cinta di tv3. Cukuplah...Saya yakin, masing-masing sudah boleh membuat kesimpulan sendiri daripada isu tersebut. Hakikat yang perlu diakui adalah, dilema kejahilan dalam masyarakat masih di tahap yang serius dan membimbangkan.
Kerana itu, mengomel dan menunding jari sahaja tidak memadai.
Sebagai contoh, salah satu perkara yang dibantah dalam drama tersebut adalah babak selak purdah. "Umumnya, pemakai purdah akan terus dianggap sebagai golongan yang baiknya bukan di tahap biasa-biasa. Baiknya itu di tahap yang luar biasa." Apabila sesuatu yang baiknya luar biasa kita gandingkan dengan adegan jahiliah seumpama berdua-duaan ataupun berpegangan, maka ia akan mencetus suatu kejutan sensitiviti kepada semua orang.
Namun di sebalik semua itu, ternyata bilangan yang sekadar terkejut dan mengomen lebih banyak berkali ganda daripada golongan yang mahu mengajak atau mendidik.
Sunnahnya begitu. Golongan yang sedar akan tanggungjawab untuk mengajak, mendidik dan memberi faham adalah golongan yang sedikit. Jiwa mereka mahukan pencerahan, bukan pergolakan yang berpanjangan. Krisis jahil itu telah sekian lama menjadi barah yang sunyi dari rawatan.


Purdah = Ustazah ???

Berpurdah atau berniqab, secara mudah akan dilabel sebagai ustazah.

Fikiran sebegini, dianggap betul pada sebahagian orang dan itulah yang mereka pegang zaman berzaman. Orang yang menganggap pernyataan ini betul, adalah orang-orang awam yang menilai segala perkara melalui zahiriah semata-mata. "Seorang ustaz mesti pakai kopiah. Siapa yang selalu pakai serban, dia adalah ustaz. Siapa yang selalu pakai tudung labuh, dia adalah ustazah."

Sedang hakikatnya tidak begitu. Ustaz atau ustazah, boleh saja dilabel kepada sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang dinilai hanyalah pakaian. Walhal, label itu tidak ada kena mengena dengan soal pakaian secara khusus. Ia berkait rapat dengan soal warak, zuhud, alim dan bijaksana pada seseorang. Semestinya, kemahiran dalam bidang agama adalah teras kepada kelayakan seseorang berada di tempat ustaz atau ustazah. Itu secara hakikat bukan semata-mata persepsi atau gelaran.

Namun perlu diingat. Mahu atau tidak, kita harus terima bahawa dalam masyarakat kita tidak semuanya mempunyai kefahaman agama yang baik. "Masih ramai yang jahil dan tak kurang juga yang berlagak tahu – enggan mengaku jahil."

Maka kalau anda ingin memakai purdah atau niqab, sila ambil kira juga kefahaman masyarakat dalam menilai diri anda.


 
Fenomena Niqobis

Di alam maya ini, lewat "aktiviti berfacebook" ataupun "berblogwalking", secara jujurnya saya melihat semakin ramai wanita yang memakai purdah atau niqab. Tak kurang juga yang menjadikan purdah dan niqab itu sebagai identiti mereka.

Apabila diperhati kepada apa yang dicatat di blog-blog mereka, semuanya cenderung mengajak pembaca kepada nilai ‘ubudiyyah kita kepada Allah. Banyak ayat-ayat tazkirah, firman dan sabda serta tidak kurang juga artikel-artikel agama yang disalin dari pelbagai sumber.

Sekali imbas, saya yakin jiwa mereka sangat lunak dengan agama.

"Tetapi suatu keanehan yang paling ketara adalah sebahagian mereka mempunyai tabiat tidak sihat yang sangat bertentangan dengan sunnah berpurdah itu sendiri". Ini mencetus suatu kepelikan yang tidak kunjung sudah di hati saya. Dalam hal ini, saya mempunyai beberapa pendapat :

Pertama : berpurdah itu khilaf antara wajib ataupun sunat. Ada yang menganggap sebagai wajib maka dia mengharamkan wajahnya dari ditatap, dengan meyakini bahawa wajahnya itu juga adalah aurat seumpama rambut dan tangan. Manakala yang menganggapnya sebagai sunat, memakainya sebagai suatu alternatif menzahirkan komitmen ‘ubudiyyahnya kepada Allah. Golongan ini memakai purdah di tempat tertentu dan membukanya di tempat yang lain. Pada saya, selagi mana dianggap sunat maka tidaklah menjadi masalah. Cuma dari sudut istiqamah, ia kelihatan sedikit cacat.

Kedua : berpurdah itu suatu tahap yang hanya boleh dicapai selepas selesai tahap asas terlebih dahulu. Berpurdah itu umpama mengupgrade diri ke peringkat yang lebih baik. Tahap asas yang dimaksudkan itu adalah menutup aurat dengan sempurna, menjauhkan diri dari budaya tabarruj ( berhias diri dan menarik perhatian lelaki ajnabi ) serta mempraktikkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah di dalam diri sendiri. Kesemua itu adalah perkara wajib yang telah disepakati dan bukan merupakan perkara khilafiah. Adapun berpurdah, tidak sampai ke tahap itu. Mudahnya, anda tidak boleh memakai baju lengan sekerat kemudian memakai purdah. Sebaliknya anda haruslah berpakaian menutup aurat dengan sempurna terlebih dahulu, barulah anda menambah dengan memakai purdah.

Ketiga : Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. 

 
"Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!!"

Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan kefahaman mereka. "Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa ataupun tidak."

Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan ‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?


‘Niqobis’ Alam Maya

Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di 
alam maya :

1- Bergambar.

Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah. Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja.
"Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam."
Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi s.a.w ..?

2- Tabarruj

Ada beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik.
"Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?"
 
3- Mendedahkan aurat

Sudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung hingga ke bahagian bawah dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.

Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.

Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan, saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?

Pertama : Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.

Kedua : Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.

Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak, anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.



Fikir-fikirkanlah...


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka....”.  
Surah an- Nur, ayat 31...